24 peringatan buat wanita
Semoga dengan izin Allah akan beroleh manfaat untuk diri khususnya, para sahabat dan para pembaca juga.
1. Pertama urusan yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajipannya atau tidak).
2. Apabila lari wanita dari rumah suaminya tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).
3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.
4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabda Nabi s.a.w. : Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.
5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita yang halal nikah (kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).
6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, “Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?” Rasulullah s.a.w. menjawab,”Bukankah kamu dapat melihatnya.”
7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.
8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya,maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.
9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada di rumah serta tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seseorang lelaki ke rumahnya dengan tidak seizin suaminya.
10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, sama ada miskin atau kaya.
11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa(kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan di tepi-tepinya.
12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.
13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya,ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.
14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.
15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat ke belakang lehernya.
16. “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.” Rasulullah s.a.w. ditanyai, “Mengapa demikian Ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup.”
17. “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Jawab Nabi s.a.w. “Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya.”
18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.
19. “Kebanyakan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api.” Hazrat Aishah bertanya, “Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?” Jawab Rasulullah s.a.w. :
i. Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.
ii. Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)
iii. Sering mengkufurkan (ingkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya :Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apa pun.)
iv. Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya :bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)
v. Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki,rakan-rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.
20. Dari Ali bin Abi Talib r.a. : Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah :-
a. Orang yang gemuk tapi kurus
b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
c. Orang yang alim tapi jahil
* Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.
* Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.
* Orang yang alim tapi jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.
21. Asma’ binti Karizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, “Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu,dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya,matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.
22. Pesanan Luqman kepada anaknya, “Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-
a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah SWT maka jagalah baik-baik fikiran mu.
b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagalah pandangan mu.
c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.
d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.
e. Ingat kepada Allah SWT
f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.
g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadap mu.
h. Ingat kepada mati.
23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah :-
a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya sama ada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami sama ada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain.
Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Memasam muka ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.
i. Menyakiti hati suami sama ada dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.
24. Wajib bagi wanita :-
a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar pemergiannya.
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.
k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.
l. Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya.
Wednesday, April 28, 2010
Posted by Jue at 12:22 PM 0 comments
Friday, March 19, 2010
Cinta
Apakah dengan mencintai Allah kita dihalang daripada mencintai yang lain?
Cinta Allah tiada batasannya. Itulah cinta yang utama. Menyusul kemudian adalah cinta-cinta yang lahir hasil daripada sama-sama mencintai-Nya atau jalan-jalan untuk mendapat cinta-Nya. Cinta kepada Rasulullah adalah cinta terpuji kerana cinta itu membawa kita kepada Allah. Justeru, Nabi Muhammad yg membawa kita kpd mengenal dan mencintai Allah. Begitu cinta yang membawa kita kepada orang berilmu dan bertakwa, kerana mereka adalah individu yang mengenalkan kita kepada Allah.
Oleh itu, apa sahaja yang membawa kita kepada cinta Allah sewajarnya dicintai juga. Utusan (Rasulullah) daripada kecintaan (Allah) dicintai juga.Begitulah segala sesuatu yang diperintah oleh kecintaan Allah untuk dicintai…Seperti cinta kepada ibu bapa, guru, cinta kepada isteri/ suami dan cinta kepada sahabat. Semua ini adalah termasuk cinta kepada Allah jika didasari dan dikawal oleh akidah dan syariat serta menepati nila-nilai akhlak Islamiah..
Posted by Jue at 1:44 AM 0 comments
Friday, February 12, 2010
Perkara Yang Mahasiswa Perlu Tahu..
Anda Bukanlah Di sekolah Menengah lagi!
1)Tukar paradigma. Kite sebagai seorang mahasiswa haruslah menukar teknik belajar, tukar minda, dan tingkatkan usaha. Barulah nampak gaya mcm seorang mahasiswa...=)
2) Jangan bergantung kepada orang lain.Jgn bergantung kepada pensyarah dan kawan-kawan. Perlu bertanya jika xfaham. Jangan asyik minta tolong kawn je..
3)Bijak membelanjakan wang pinjaman. Jangan beli benda yg xpenting seperti telefon bimbit mahal, laptop canggih, pakaian2 berjenama dan sebagainya.
4) Pilih kursus yang minat. pastikan anda betul2 minat subjek tersebut dan mampu untuk mengikutinya. Janganlah tersilap membuat pilihan coz nanti akan memberi masalah kepada anda. So, buatlah keputusan yang bijak. Inipun berdasarkan pengalaman saya sendiri.
5) Daftarkan lebih subjek dan jgn takut gugurkan subjek yg xmampu. Jika ada subjek yg xdpt ditanggung hingga memberi kesan kpd gred keseluruhan = lebih baik gugurkan saja.Fahami dan gunakan sepenuhnya kemudahan yg ditawarkan dlm sistem pendaftaran yg ada di Universiti anda.
6) Segera dapatkan rujukan selepas kuliah. Jangan amalkan suka menangguh mencari rujukan untuk subjek yang baru dipelajari.
Belajarlah Cara Mahasiswa
1) Ulangkaji subjek yang dipelajari pada hari yg sama. Menurut kajian, jika seseorang itu tidak mengulang kaji subjek yg diajarkan pd hari yg sama dlm masa 24 jam selepas kuliah, dia hanya igt 20% drp apa yg diajarkan. Jika dia melakukannya selepas 48 jam dia hanya igt sebanyak 5 % saja.
2) Buat peta minda. Terangkan semual apa yg dipelajari dalam bentuk peta minda. Lakukan di depan cermin, depan tembok atau taman...=)
3)Sentiasa senyum ketika belajar, ulangkaji, dan jawab peperiksaan. Antara kelebihan senyum iaitu dapat meredakan tension anda, meningkatkan keyakinan diri, menghilangkan perasaan cemas dan gementar, mengurangkan rasa gundah gulana, memberikan imej yang baik, mesra dan ceria.
4) Hadiahkan diri anda dgn ganjaran dan pengiktirafan. Kelebihan ganjaran ni ialah dapat memberikan galakan kepada diri utk gigih belajar, meningkatkan keyakinan diri, menghargai diri dan merangsang minat utk mengulangi kejayaan yg sama.
5) Belajar dalam sesi yg pendek. Kalau belajar terlalu lama menyebabkan anda pening dan bosan. Betul tak?....So, selang seli dgn rehat utk menyegarkan kembali otak, mata dan badan. Setiap 30 minit sesi belajar, berhenti selama 2 minit utk merehatkan mata.
6) Baca Buku Sebelum Kuliah Bermula. Selak buu secara rambang dan amati tajuk apa yg akan diajar oleh pensyarah. Baca subtajuk utk dapat gambaran tentang apa yg akan dibelajar nanti.
7) Nota Yang Ringkas Dan Padat. Guna kata kunci pada poin yg pensyarah sebutkan. Buat peta minda pada subjek yg dipelajari. Imaginasikan pelajaran yg anda pelajari dan terjemahkan dlm bentuk peta peta minda. Lukis gambaran minda anda, ini dapat menguatkan ingatan anda...
8) Jangan Tidur Lewat! Ramai pelajar yg ponteng kelas pd awal pagi kerana overslept.
p/s: hasil rujukan buku Tips Menjadi Pelajar IPT cemerlang, Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah..semoga mendapat manfaat..(^_^)
Posted by Jue at 8:29 PM 0 comments
Thursday, February 11, 2010
Apa Itu Web 2.0?
1.0 PENDAHULUAN
Jika melalui sejarahnya, sebelum munculnya web 2.0 pada permulaannya telah terdapat web 1.0 sebagai asasnya iaitu bermula daripada tahun 1990 hingga 2001. Web 1.0 ini adalah web pertama yang berfungsi sebagai pemberi maklumat dan informasi yang hanya bersifat satu arah sahaja. Maksudnya disini iaitu tidak berlakunya komunikasi dua hala antara pengguna dan pemilik website tersebut. Pada masa ini, masyarakat hanya menggunakan web untuk mendapatkan maklumat semata-mata.
Seterusnya, zaman penggunaan web ini semakin berkembang pada era web 2.0. Segala aplikasi boleh digunakan dengan lebih mudah sehinggakan manusia yang ingin bekerja yang berkaitan dengan internet hanya perlu berada di rumah tanpa perlu pergi ke pejabat lagi. Sesungguhnya, kecanggihan teknologi pada zaman sekarang ini memberi impak besar kepada manusia dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
2.0 DEFINISI WEB 2.0
Web 2.0 dicipta oleh Dale Dougherty pada tahun 2004. Beliau merupakan naib presiden di sebuah syarikat pengkomputeran iaitu O’Reilly Media Inc. Menurut beliau, web 2.0 merupakan sebuah jaringan yang merangkumi pelbagai makna termasuk pengguna boleh menghasilkan kandungan dan berkongsi data serta maklumat yang pelbagai dengan sesiapa sahaja. Terdapat pelbagai jenis perisian sosial, berinteraksi dengan aplikasi berasaskan web dan menggunakan web sebagai satu platform untuk menjana (generating), menggunakan semula kandungan dan sebagainya.
Selain itu, web 2.0 merupakan pengganti kepada web 1.0 kerana ia adalah satu jaringan piawaian yang dihasilkan daripada web 1.0. Hal ini adalah menurut daripada seorang pencipta web iaitu Tim Berners Lee. Web 2.0 juga bersifat mesra pengguna kerana ia memudahkan sesiapa sahaja menggunakannya kerana ia mengandungi ciri-ciri ’apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapat’ (WYSIYG – What You See Is What You Get).
Web 2.0 adalah di dalam teknologi WWW(World Wide Web). Iaitu dapat menambahkan kreativiti, perkongsian maklumat dan berlakunya kerjasama antara pengguna. Dalam erti kata yang lain, web 2.0 ini bukan sahaja hanya berasaskan html sahaja tetapi ia bersifat dinamik dan mampu untuk berinteraksi dengan pengguna. Ia juga menjadikan komunikasi begitu berkesan, pantas dan mudah. Selain itu, web 2.0 ini juga berkait rapat dari segi penggunaan database. Maksudnya disini bahawa setiap perubahan yang diterima daripada input pengguna akan disimpan terus ke pangkalan data.
Mengikut Tim O’Reilly, web ini adalah sebagai tempat bagi sesuatu aplikasi itu dijalankan. Web 2.0 ini mengandungi aplikasi web yang mempunyai ciri-ciri dan berfungsi seperti aplikasi pada komputer desktop. Boleh dijalankan terus melalui web browser dan tidak memerlukan install software pada PC. Contohnya, seperti aplikasi javascript, java applets, php dan yang sebagainya. Oleh hal yang demikian, pengguna tidak perlu lagi untuk menginstall sebarang software jika ingin menggunakan sesuatu aplikasi. Pengguna boleh terus menggunakan aplikasi tersebut. Hal ini juga dapat menjimatkan masa dan kos serta memudahkan para pengguna untuk menginstall software tersebut di kedai-kedai yang berhampiran.
Terdapat banyak website yang merupakan web 2.0. Antaranya adalah blogger, wiki, friendster, forum, tagged, myspace, flicker facebooks dan sebagainya yang tumbuh bagaikan cendawan.
2.1 Ciri-ciri web 2.0
1) Menggunakan web atau internet sebagai platform.
Maksudnya disini iaitu web sebagai tempat aplikasi dijalankan. Iaitu menggunakan aplikasi-aplikasi tersebut hanya melalui internet dan tidak memerlukan satu sistem operasi yang tertentu. Contohnya seperti platform Windows yang terdapat aplikasi seperti microsof office dan adobe photoshop. Antara contoh-contoh lain adalah Google dan Flickr iaitu kedua-duanya boleh diakses daripada mana-mana sistem operasi. Melalui web 2.0 ini, tidak lagi memerlukan aplikasi seperti windows iaitu perlu menginstallkannya terlebih dahulu, aplikasi ini boleh terus digunakan hanya melalui web ini sebagai platformnya.
2) Dapat mengumpul banyak ilmu pengetahuan hasil gabungan daripada orang ramai secara kolektif.
Contohnya, online ensiklopedia iaitu melalui wikipedia yang menyediakan maklumat hanya di hujung jari. Melalui wikipedia ini semua orang boleh mengedit dan membuat artikel. Oleh itu, maklumat ini dapat dikongsi bersama dengan orang lain. Orang ramai juga mendapat banyak manfaat daripada ilmu tersebut. Selain itu, hal ini dapat memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat dengan cara yang pantas tanpa perlu bersusah-payah untuk ke perpustakaan atau kedai buku jika ingin mendpatkan maklumat dengan segera.
3) Mempunyai user interface iaitu teknologi seperti AJAX dapat mempercepatkan respons dan user interface yang intuitif. Oleh itu, ia amat memudahkan para pengguna .Hal ini adalah sama seperti Windows yang diinstallkan di komputer kita. Contohnya Gmail merupakan aplikasi user interface revolusioner.
4) Boleh berfungsi secara terintegrasi melalui pelbagai device. Contohnya iTunes daripada Apple yang berjalan secara terintegrasi mulai dari server Internet adalah dalam bentuk toko musik online, ke komputer pengguna pula dalam bentuk program iTunes, sampai ke mobile device dalam bentuk iPod. Jika dilihat pada zaman sekarang terutamanya remaja selalu menggunakan cara ini iaitu mengambil lagu-lagu secara online dimasukkan ke komputer dan seterusnya ke telefon bimbit masing-masing. Perkara ini amat digemari oleh mereka sebagai hiburan.
5) Kekuatan aplikasi web 2.0 adalah terletak pada data iaitu data yang kuat dan unik. Contohnya, Google kekuatannya terletak pada pengumpulan dan pengurusan data halaman-halaman web di internet.
6) Aplikasi web 2.0 adalah bersifat layanan bukanlah bersifat produk kerana ia selalu di update secara terus-menerus. Antara contohnya, Google yang selalu terus di-update dan programnya tanpa perlu menunggu untuk waktu-waktu tertentu.
7) Pada kebiasaannya, web 2.0 didorong oleh penyertaan pengguna. Hal ini adalah berdasarkan daripada peralihan atau transisi yang terdapat dalam web 2.0 itu sendiri. Contohnya blog, jaringan sosial, imej yang percuma dan memuat naik video. Segala kemudahan-kemudahan inilah yang menarik perhatian para pengguna.
8) Bersifat mesra pengguna. Web 2.0 ini mempunyai interface yang bersifat mesra pengguna. Pengguna juga dapat mengawal semua kandungan yang dibina termasuk memilih identiti untuk berinteraksi di ruang maya dan rangkaian sosial yang lain.
9) Web 2.0 lebih canggih dari segi vasibility aspek reka bentuk, text lebih besar, warna terang dan berkilat. Oleh itu, para pengguna tidak akan berasa bosan menggunakan aplikasi di web 2.0 ini kerana banyak dari segi interaktivitinya.
2.2 KELEBIHAN DAN KELEMAHAN WEB 2.0
Terdapat banyak kelebihan yang boleh didapati melalui penggunaan web 2.0 ini. Walau bagaimanapun disebalik kebaikan melalui web 2.0 ini, terdapat juga kelemahannya yang dapat diketahui.
Kelebihan Web 2.0
1) Dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan atau persaudaraan antara satu sama lain. Contohnya seperti pengguna boleh menghantar komen atau sebarang grafik daripada rakan. Hal ini kerana, peringatan akan dihantar kepada pengguna akan hari lahir sahabat-sahabat mereka di dalam email. Oleh itu, sahabat mereka akan berasa dihargai, maka dengan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka.
2) Selain itu, pengguna juga boleh mendapat kenalan dari seluruh dunia tanpa mengira sempadan. Oleh itu, mereka bolehlah menambahkan pengetahuan dengan bertukar-tukar pendapat dan saling berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman masing-masing. Walaupun tidak berkesempatan untuk pergi ke luar negara tapi melalui perhubungan inilah masing-masing dapat mengetahui bagaimana keadaan di luar negara daripada negara sendiri.
3) Dapat berkongsi ilmu pengetahuan dengan orang lain. Contohnya, sebagai seorang guru apabila kita membuat laman blog, wiki, forum ataupun portal sekolah sudah tentu banyak ilmu pengetahuan yang dapat dikongsi bersama secara percuma dan lebih menarik. Hal ini kerana, dalam web 2.0 ini penggunaan medium adalah meluas seperti video, suara, imej dan foto, perbincangan berbentuk forum, blog dan sebagainya. Hal ini amat membantu sebagai seorang guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah ataupun universiti. Jika di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini pun terdapat ruang atau tempat dimana para mahasiswa dapat mengutarakan sebarang permasalahan semasa dalam kuliah iaitu dalam MyPortal pada bahagian MyGuru. Terdapat juga pensyarah yang menyediakan soalan-soalan yang perlu dijawab oleh para mahasiswa dan ianya termasuk dalam perkiraan markah masing-masing.
Antara contoh lain, melalui blog seseorang boleh berkongsi ilmu pengetahuan juga melalui bidang fesyen, masakan dan sebagainya. Melalui blog-blog seperti ini orang-ramai dapat mengikuti segala perkembangan terdapat pada zaman sekarang.
4) Pengguna juga tidak perlu kepada media penyimpanan konvensional seperti disket dan flash disk. Pengolahan data dan penyimpanan dokumen dapat dilakukan dalam satu jendela web browser. Hal ini dapat memudahkan para pengguna.
5) Melalui web 2.0 ini juga dapat menyumbang kepada perkembangan dunia perniagaan melalui internet.Bagi yang menjalankan perniagaan melalui internet ini, tempat kerja hanyalah di rumah sementara itu pejabat hanyalah sebagai tempat bertemu, berkumpul untuk mesyuarat dan perbincangan penting. Secara tidak langsung, dapat mengurangkan masa tersekat dalam traffic jam dan kos untuk ke pejabat.
Kelemahan Web 2.0
1) Boleh membuang masa pengguna.Hal ini kerana, proses memuat naik gambar yang terlalu lama. Pengguna terpaksa mengambil masa yang lama untuk menunggu gambar tersebut dimuat naikkan. Contohnya, friendster hanya boleh memasukkan gambar yang bersaiz kurang daripada 2mb sahaja.
2) Berlakunya penyebaran video yang tak bermoral. Pengguna yang tidak bertanggungjawab akan menggunakan nama atau identiti salah seorang daripada pengguna yang lain. Hal ini akan memalukan pihak yang tidak bersalah. Keselamatan pengguna adalah tidak terjamin apabila mengguna aplikasi-aplikasi web 2.0 ini. Oleh itu, para pengguna mestilah berhati-hati dalam hal ini. Jika hal ini berlaku, perlulah laporkan kepada pihak yang berkenaan.
3) Pengguna akan menghadapi sindrom ketagihan internet. Oleh itu, pengguna hendaklah mengurangkan masa penggunaan ruang maya ini agar dapat mengatasi masalah ketagihan internet ini. Agar masa yang ada dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang lebih berfaedah. Selain itu, seseorang itu juga boleh mendapat penyakit mata, tulang belakang dan sebagainya jika berada di hadapan skrin tuntuk tempoh masa yang lama.
4) Melalui web 2.0 ini juga penyamaran dapat dilakukan secara berleluasa dan mudah. Implikasinya, wujudlah kes-kes seperti rogol, kes culik, dan peras ugut. Oleh itu, para pengguna web hendaklah lebih berhati-hati dan jangan terlalu mudah percaya.
5) Selain itu, terdapat virus komputer yang banyak disebarkan melalui internet. Implikasinya adalah amat besar kerana virus ini boleh mengakibatkan data-data dalam komputer hilang dan ada juga virus yang mengakibatkan kerosakan pada komputer. Hal ini akan mengakibatkan sesebuah syarikat atau agensi kerajaan lumpuh kerana sistem dan data-data telah terganggu.
2.3 Perbezaan Web 2.0 berbanding dengan web 1.0
1) Web 2.0 adalah internet generasi kedua, iaitu lebih baik daripada generasi yang pertama. Jika web 1.0 ia hanyalah berfungsi sebagai pemberi maklumat dan informasi yang bersifat satu arah. Segala kandungan atau isinya berada ditangan administrator. Oleh itu, pengunjung hanya dapat melihat isi daripada laman tersebut tanpa dapat memberi komen atau pandangan.
Melalui web 2.0 ini,kandungan tidak hanya dipegang oleh administrator sepenuhnya, malahan pengunjung boleh mengendalikan pada kandungan web tersebut dan juga pengunjung-pengunjung yang lain dapat memberi komen, berkomunikasi antara satu sama lain, memberi pendapat dan sebagainya. Antara contoh web 2.0 ini seperti facebook, youtube, friendster, twitter, hi5 dan lain-lain.
2) Web 1.0 dibina dengan menggunakan HTML sahaja. Manakala,web 2.0 merupakan hasil gabungan daripada beberapa teknologi iaitu XHTML, Ajax, CSS, RSS atau Atom. Maka melalui ini saja kita dapat mengetahui bahawa web 2.0 adalah lebih canggih serta dari aspek interaktivitinya lebih banyak berbanding dengan web 1.0. Jika web 1.0 adalah agak membosankan dan agak kurang dari aspek interaktivitinya.
3) Web 1.0 mengharuskan pengguna internet untuk melayari website tersebut dan melihat satu persatu kandungan di dalamnya. Manakala, web 2.0 tidak perlu untuk berbuat demikian iaitu hanya melihat suatu kandungan suatu website tanpa bekunjung ke alamat web yang berkenaan.
4) Sumber kandungan hanya dapat diubah oleh pemilik tapak web tersebut ini adalah web 1.0. Manakala web 2.0 pengguna yang bukan pemilik tapak web tersebut juga dapat mengubah sumber kandungan tersebut.
2.4 Sumbangan Web 2.0 dalam Pembangunan Blog
1) Melalui penggunaan kod-kod html atau javascript telah memudahkan pengguna dengan hanya perlu mengheret reka letak atau widget jika ingin memindahkannya.
2) Selain itu, web 2.0 ini juga tidak memerlukan kepada perisian-perisian tertentu dan ianya bersifat pemindahan data dalam secara dalam talian serta pengurusan berasaskan paparan pengguna iaitu user interface.
3) Para blogawaan juga tidak perlu menggunakan perisian-perisian pembangun web yang berasingan jika untuk menghasilkan sesebuah reka letak. Hanyalah perlu menggunakan aplikasi ditalian.
4) Penggunaan RSS feed dan RSS read pada blog telah memudahkan lagi para blogawan. Pengunjung blog dapat mengetahui artikel yang terbaru yang ditulis oleh pemilik blog tersebut iaitu tanpa perlu menaip URL (Uniform Resource Identifier) bersusah – payah untuk menyemak sesebuah website setiap hari untuk melihat sama ada terdapat artikel yang terbaru.
3.0 PENUTUP
Kesimpulannya, melalui web 2.0 ini telah banyak memudahkan kita serta menjadikan kehidupan manusia di muka bumi ini lebih maju serta penghuninya juga lebih berkembang dari segi intelektualnya. Terdapat banyak kebaikan dan juga keburukan yang terdapat dalam web 2.0 ini. Oleh itu, para pengguna hendaklah bijak dalam menggunakan kemudahan yang ada ini.
RUJUKAN
1) Aizam Hussin (2009). Blog Bawa Pemikiran Anda Ketengah. Selangor: Penerbit Venton Publishing (M) Sdn. Bhd.
2) http://www.intro2u.net/new/2008/11/teknologi-dan-inovasi-mosti/
3) http://en.wikipedia.org/wiki/Web_2.0
4) http://www.oreillynet.com/pub/a/oreilly/tim/news/2005/09/30/what-is-web-20.html
5) http://www.kamusilmiah.com/it/apa-itu-web-20/
6) http://www.google.com/search?
Posted by Jue at 8:42 PM 0 comments
Thursday, February 4, 2010
Peribadi Rasulullah s.a.w...
Bahawasanya Rasulullah saw adalah manusia yang paling tampan wajahnya, paling bagus bentuk penciptaannya, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek.
(Muttafaq alaih)
~ Bahawasanya Rasulullah saw berkulit putih dan berwajah elok.
(Muslim)
~ Bahawasanya badan Rasulullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek, dadanya bidang, janggutnya lebat, rambutnya sampai ke daun telinga, aku (sahabat) pernah melihatnya berpakaian merah dan aku tidak pernah melihat yang lebih indah daripadanya.
(Bukhari)
~ Bahawasanya wajah Rasulullah bulat bagaikan matahari dan bulan.
(Muslim)
~ Bahawasanya apabila Rasulullah saw gembira, wajahnya menjadi bercahaya seolah-olah seperti belaian bulan dan kami semua mengetahui yang demikian itu.
(Muttafaq alaih)
~ Bahawasanya tidaklah Rasulullah saw tertawa kecuali dengan senyum dan apabila kamu memandangnya maka kamu akan menyangka bahawa baginda memakai celak pada kedua matanya, padahal baginda tidak memakai celak.
(Tirmizi. Hasan)
~ Dari Aisyah ra, dia berkata "Tidak pernah aku melihat Rasulullah tertawa terbahak-bahak sehingga kelihatan batas kerongkongnya. Akan tetapi tertawa baginda adalah dengan tersenyum".
(Bukhari)
~ Dari Jabir bin Samurah ra, dia berkata: "Aku pernah melihat Rasulullah saw pada malam bulan purnama. Aku memandang baginda sambil memandang bulan. Baginda mengenakan pakaian merah. Maka menurutku, baginda lebih indah daripada bulan."
(Tirmizi, dia berkata: Hadis hasan gharib. Dan disahihkan oleh al-Hakim serta disetujui oleh az-Zahabi)
Bagaimana kita nak lebih mengenali Rasulullah s.a.w?
Ada orang kata tak kenal maka tak cinta...So, untuk mencintai Rasulullah s.a.w kita kenalah mengenali baginda dengan lebih mendalam kan..Btul tak?...=)
*(Dipetik daripada buku Mengenal Peribadi Rasulullah SAW karya Syeikh Muhammad Jamil Zainu)
Posted by Jue at 4:59 PM 0 comments
Sunday, January 24, 2010
10 Jenis Solat Yang Tak Diterima Oleh Allah..
Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)
Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :
1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."
Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."
p/s: sbb 2 la orang yg kuat sembahyang pun blum tentu msuk syurga Allah.. cuma Allah je yg dpt menilai...Moga kita adalah golongan2 yang Allah menerima amalan2 yang kita lakukan..
Posted by Jue at 6:26 AM 0 comments
Thursday, January 21, 2010
Aku Kini Telah Dewasa..
Tanggal 21 Januari 1988 adalah tarikh aku dilahirkan.Pada tarikh ini aku kini bukan lagi bergelar seorang remaja, zaman remajaku telah meninggalkanku buat selama-lamanya.Kini aku sudah di peringkat seorang yang dewasa. Umurku kini sudah 22 tahun!. Tak ku sangka, begitu cepat masa berlalu. Sahabatku yang tersayang Nisa telah mengejutkanku dengan membuat pengumuman dalam kelas dengan memberitahu semua kawanku yang lain. Terharu dan bercampur malu btul hari tu. Mereka semua menyanyikan lagu untukku. Rasa macam dihargai betul..huhu..Terima kasih sahabat-sahabatku..Moga persahabatan kita semua kekal abadi selama-lamanya..
Semakin aku meningkat dewasa semakin banyak pula cabaran dan dugaan yang harus ku tempuhi. Itu memamg lumrah kehidupan.Aku harap aku dapat mengharunginya dengan sabar dan tabah. InsyaAllah Allah akan sentiasa bersama hamba2nya dan akan membantu hamba2nya yang taat akan perintahNya. Sesungguhnya, Allah tidak akan membebani seseorang itu, Allah akan menguji seseorang berdasarkan tahap kemampuannya sahaja...Aku harap aku mampu menghadapi apa jua dugaanMu Ya ALLAH..aminn..
Posted by Jue at 11:31 PM 0 comments





